suria

Polis Sabah Selamatkan Tiga Wanita Asing

Razarudin Husain

KOTA KINABALU: Polis Sabah menyelamatkan tiga wanita warga asing daripada menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi seks di Sandakan petang pada Isnin.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Razarudin Husain berkata, ketiga-tiga wanita yang berumur antara 15 hingga 17 tahun itu diselamatkan di sebuah hotel selepas polis menyerbu hotel itu hasil maklumat awam.

Katanya polis juga menahan seorang lelaki warga asing berumur 18 tahun yang memiliki pasport dipercayai penjaga kepada wanita berkenaan.

“Tangkapan (suspek) dibuat kira-kira 6 petang semalam. Kita juga ada merampas wang tunai kira-kira RM300 daripada suspek lelaki berkenaan. Kesemua wanita ini masih ditahan dan akan dihantar ke pusat perlindungan,” katanya.

Razarudin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis serah terima motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, Selasa.

Pada majlis itu, Razarudin menerima 39 unit motosikal daripada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus.

Motosikal berkenaan akan diagihkan ke seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Sabah untuk kegunaan anggota polis trafik dan anggota dibahagian siasatan jenayah.

Menurut Razarudin walaupun kes berkenaan masih dalam siasatan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan akan dijadikan mangsa exploitasi seks.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

“Suspek ini mungkin sebagai penjaga. Umur pun baru 18 tahun. Jadi siasatan akan menjurus kepada orang yang sepatutnya,” katanya. -Bernama

Artikel Lain