suria

PAS Tuntut Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Nanyang Siang Pau

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS pada Selasa berhimpun di luar pejabat akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau bagi menuntut kerajaan Malaysia mengenakan tindakan tegas berhubung penyiaran karikatur yang didakwa mempersendakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Pada bantahan itu, Pas mendesak permohonan maaf secara terbuka dibuat melalui perutusan surat rasmi kepada presiden PAS melalui keluaran akhbar bercetak, selain mahukan mendesak supaya insiden dan kesilapan yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara tidak berulang.

Selain itu, Pas turut mendesak supaya kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap akhbar berbahasa Cina itu yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam serta menimbulkan sentimen yang tidak baik terhadap rakyat di negara ini.

Parti itu turut mendakwa karikatur yang bertarikh 8 April itu telah mengganggu keharmonian agama Islam dan mengguris penganut agama berkenaan.

Akhbar Nanyang Siang Pau pada Sabtu lalu menggambarkan seekor monyet memakai serban yang digambarkan sebagai Abdul Hadi berada di atas pokok 355 dan ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada Khamis lalu.

Nanyang Siang Pau  turut menyamakan Pandikar sebagai monyet yang lari meninggalkan sebuah pokok.

Ia ditafsirkan sebagai tindakan Pandikar yang menangguhan perbahasan pindaan RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini ke sidang akan datang.

Karikatur itu juga menunjukkan sekumpulan monyet yang bertekak di bawah pokok berkenaan.

Demonstrasi yang disertai hampir 300 ahli PAS termasuk anggota bukan kerajaan (NGO) itu, turut menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan akhbar tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain