suria

Pekerja Asing: Kerajaan Perkenal ePPAx, SPPA Elak Orang Tengah

Alwi Ibrahim.

PUTRAJAYA: Kerajaan membangunkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) bagi memudahkan majikan membuat permohonan pekerja asing secara dalam talian.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, SPPA dibangunkan khusus bagi pengambilan pekerja asing warga Bangladesh sahaja manakala ePPAx bagi pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber yang lain.

Beliau berkata, sistem itu diperkenal susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua majikan diwajibkan membuat permohonan mendapatkan pekerja asing secara dalam talian berkuat kuasa 1 April lalu.

"Sistem ini diperkenal bagi mengelak penglibatan orang tengah yang dapat meminimumkan kos pengambilan dan pentadbiran pekerja asing, memendekkan tempoh merekrut serta membendung penganiayaan dan pemerdagangan ke atas pekerja asing," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Alwi berkata, kedua-dua sistem itu dibangunkan untuk permohonan pekerja asing bagi sektor formal iaitu perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, pertanian serta perladangan kecuali permohonan pembantu rumah asing.

Beliau berkata, sistem tersebut boleh diakses melalui pautan www.eppax.gov.my, manakala bagi pengambilan pekerja asing warga Bangladesh, permohonan boleh dibuat di laman sesawang portal.sppa.gov.my.

Maklumat lanjut juga boleh dicapai melalui laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, katanya.

Alwi berkata, proses awal penilaian kelayakan akan dilaksanakan secara dalam talian mengikut maklumat yang diberikan majikan dan majikan akan dipanggil untuk ditemuduga di Pusat Kelulusan Setempat (OSC) KDN bagi mengesahkan permohonan berkenaan dikemukakan oleh majikan hakiki dan untuk memuktamadkan kelulusan kuota berdasarkan kelayakan sebenar majikan.

"Hanya selepas proses temuduga dan kelulusan kuota di OSC KDN, barulah majikan boleh memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini," katanya.

Ahmad Zahid ketika mengumumkan perkara itu sebelum ini berkata selain memastikan majikan tidak tertipu oleh ejen dan membayar kos berlebihan, keputusan mewajibkan permohonan secara dalam talian adalah demi kebaikan semua agar KDN dan Jabatan Imigresen tidak terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.- Bernama

Artikel Lain