suria

'Datuk', Isteri Didakwa Ambil Pekerja Asing Tanpa Permit Sah

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, di sini hari ini atas pertuduhan mengambil pekerja wanita warga Indonesia tanpa permit yang sah.

Shapiza Abdul Aziz, 40, dan suaminya Datuk Mohd Badlishah Abdullah, 53, didakwa mengambil Herodian Nauf,37, yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di sebuah rumah di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor di sini pada 7.30 malam, 7 Mac lepas.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya, bagi setiap orang yang diambil kerja, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Insp Muhammad Faiz Abu Samah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu pasport kedua-duanya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Pasangan itu yang diwakili peguam Balbir Singh Dhillon memohon jaminan RM2,000 bagi setiap anak guamnya dengan alasan mereka mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes itu. Kedua-dua mereka membayar jaminan itu.-- Bernama



Artikel Berikut

Artikel Lain