suria

Nazri: Debat Boleh Dibuat Di Antartika, Ditonton Penguin

KUALA LUMPUR: Dialog atau debat antara bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang dibatalkan baru-baru ini boleh diadakan di Antartika.

"Penguin tidak faham bahasa Melayu atau Inggeris, jadi tidak akan ada kekecohan," kata Nazri.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata demikian secara berseloroh kepada pemberita di pusat media Parlimen di sini pada Isnin.

Menurut Nazri, Antartika, London atau Greenland boleh dijadikan lokasi debat antara beliau dan Dr Mahathir.

Nazri berkata, beliau tidak tahu mengapa polis membatalkan permit debat antara bekas perdana menteri yang dinanti-nantikan, tetapi ia mungkin disebabkan wajahnya yang dilihat seperti "gengster".

"Saya tidak fikir mereka batalkan majlis kerana Dr Mahathir. Saya fikir sebabnya adalah saya. Mahathir sudah tua, dan beliau bukan satu ancaman. Jadi sebabnya mungkin saya. Mungkin rupa saya macam gengster," kata Nazri.

Debat antara dua ahli politik itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah pada 25 Mac, tetapi ditangguhkan kerana penganjur, akhbar Sinar Harian tidak memohon permit polis.

Lokasi debat kemudiannya dijadualkan pada 7 April di auditorium Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor yang mana pada awalnya selepas mendapat lampu hijau daripada polis tetapi kemudiannya permit dibatalkan atas faktor keselamatan.

Nazri berkata, jika beliau merupakan "ancaman kepada keselamatan negara", debat itu boleh diadakan di auditorium polis di Cheras.

"Saya diberitahu dewannya agak besar, mungkin pihak polis boleh menganjurkan debat ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain