suria

'Superman' Dipenjara Dua Hari, Denda RM5,500

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang menunggang motosikal ala 'Superman', dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik di sini pada Isnin, selepas mengaku bersalah menunggang secara melulu dan berbahaya.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman memerintahkan Muhammad Najmi Ahmad Martazor, 24, menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap, 2 April lepas dan  penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya pada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada 11.30 malam, 2 April lepas. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala "Superman" di Lebuhraya Duke semasa Ops Samseng Jalan Raya. 

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Insp Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu denda yang rendah dengan alasan dia tidak bekerja. - BERNAMA

Tunggang Motosikal

Artikel Lain