suria

PBR Mahu Sertai Pakatan Harapan - Khairuddin

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan

PETALING JAYA: Parti Bebas Rasuah (PBR) menjadi parti terbaharu yang merancang menjadi salah satu ahli gabungan Pakatan Harapan selepas langkah rasmi yang diambil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan presidennya yang baharu dilantik Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, presiden parti Datuk Mohd Ezam Mohd Nor akan menulis surat rasmi kepada Pakatan Harapan bagi menyatakan hasrat tersebut.

"Saya, Datuk Ezam Mohd Nor dan rakan-rakan seperjuangan berpendapat kami tiada pilihan buat masa ini kecuali 'menyising lengan' untuk terus berjuang lawan kemungkaran ke arah 'Selamatkan Malaysia'.

"Datuk Ezam Mohd Nor akan menulis surat rasmi kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi PBR memohon, seterusnya amatlah diharap agar diterima masuk sebagai sebahagian rakan gabungan kepada Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Kenyataan ini dibuat selepas Parti Generasi Baru (NewGen Party) pada awal Jumaat, mengumumkan penukaran namanya kepada PBR.

Selain mengumumkan pelantikan Mohd Ezam dan Khairuddin, PBR turut mengumumkan beberapa pelantikan ahli jawatankuasa eksekutif pusat yang baharu.

Khairuddin yang merupakan bekas timbalan ketua Umno Batu Kawan dan bekas ahli PPBM berkata PBR adalah 'single objective party' yang pertama di negara ini dan akan berjuang selari dengan arah tuju perjuangan Pakatan Harapan.

"Kami bukan hendak bersaing dengan mana-mana rakan lain tetapi akan menyokong matlamat perjuangan Pakatan Harapan secara menyeluruh.

"Pihak kami juga berazam untuk mengemaskini dan memperkuatkan apa saja bentuk kelemahan kecil-kecilan yang masih terdapat di dalam Pakatan Harapan," katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannnya terhadap Ezam yang disifatkan mempunyai kebolehan ilmu politik bagi memimpin PBR ke tahap yang paling cemerlang.

Khairuddin berkata, PBR juga tidak akan menghiraukan pandangan atau persepsi masyarakat terhadap parti ini.

"Yang paling penting ialah kita bersatu hati ke arah menguatkan Pakatan Harapan bagi menjayakan misi menawan Putrajaya pada PRU-14," katanya.

Jelasnya, perjuangan membela rakyat, seterusnya membentuk kerajaan baharu tidak mustahil dengan adanya gabungan tenaga Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Azmin Ali, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Mat Sabu, Salahudin Ayob serta rakan-rakan lain dalam politik tanah air.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain