suria

Jangan Tertipu Khidmat Eksploitasi Agama - Ikim

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam negara ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkhidmatan seperti Valet Doa dan Raja Bomoh yang dengan jelas mengeksploitasi agama Islam untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Profesor Dr Azizan Baharuddin berkata, kewujudan pelbagai perkhidmatan berbentuk penipuan itu disebabkan tindakan segelintir individu cuba mengambil kesempatan terhadap pihak yang mahu mendalami ilmu agama.

"Pihak yang melakukan itu melihat agama itu sebagai komoditi untuk mendapat keuntungan. Sebab dalam keadaan di mana semua orang yang ingin kembali kepada agama kadang-kadang mudah dimanupilasi pemikirannya," katanya.

Dr Azizan berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival Ulang Tahun Ke-25 Ikim dan Pelancaran Buku Ikim di sini, Jumaat.

Justeru beliau, menasihati umat Islam supaya kembali memahami ajaran sebenar agama Islam agar tidak terus terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat itu.

"Maaf cakap kadang-kadang kita rasa kita dah lahir dalam satu-satu agama tu kita dah faham, tak semestinya. "Sebab dalam Al-Quran ada cakap kepada orang berfikir, akal tu satu yang allah cipta untuk kita gunakan. Soalnya adakah kita baca Al-Quran?," katanya.

Baru-baru ini, laman Facebook Valet Doa yang menawarkan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Makkah diarah menghenti operasi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau akaun Facebook pengasas Valet Doa.

Selain itu, Raja Bomoh Malaysia pula telah dipanggil untuk siasatan berhubung ritualnya baru-baru ini.

Bomoh tersebut dengan nama sebenar Ibrahim Mat Zin akan diminta memberi keterangan mengenai ritual terbarunya yang tular di laman sosial.

Rakaman video yang tular menunjukkan Ibrahim bersama pengikutnya membawa buluh kecil sebagai teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh di tepi pantai.

Menurut bomoh itu ritual itu bertujuan memohon keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara, selain bertujuan melindungi negara ini.

Seorang mufti menyifatkan perbuatan bomoh berkenaan sebagai tahyul dan tidak diiktiraf oleh Islam.

IKIM, pluralisme

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain