"Ada Lagi Yang Datang Tanya Tok Guru Haron" - Pengerusi Darussyifa - Semasa | mStar

"Ada Lagi Yang Datang Tanya Tok Guru Haron" - Pengerusi Darussyifa

BANGI: Sudah lebih enam bulan pengasas Pusat Rawatan Islam Darussyifa (Darussyifa) Datuk Dr Haron Din meninggal dunia, namun masih ada pesakit yang datang ke pusat rawatan itu untuk berubat dengan ulama yang disegani ramai itu.

Pengerusi Darussyifa, Abdul Rahman Ahmad berkata, situasi ini biasanya berlaku pada Selasa di mana Allahyarham, sebelum pemergiannya akan ke pusat rawatan yang terletak di Bandar Baru Bangi untuk mengubati pesakit-pesakitnya, bermula selepas Subuh.

“Bila ada yang datang dan tanya Tok Guru, kita beritahu mereka rawatan pada Selasa masih ada, cuma rawatan Tok Guru yang dah tak ada.

“Selepas diberitahu situasi sebenar, mereka tetap teruskan niat untuk berubat di sini,” katanya kepada mStar Online dalam temubual mengenai perkembangan operasi Darussyifa baru-baru ini.

Abdul Rahman yang mula berguru dengan Allahyarham pada 1980 berkata, seperti yang diamanatkan, operasi Darussyifa tetap diteruskan walaupun beliau pada mulanya berasa berat untuk menggalas tanggungjawab yang kini terletak sepenuhnya di bahunya.

“Saya memikul beban atau tugas yang begitu berat memandangkan orang yang saya sentiasa rujuk setiap kali menjalankan tugas telah tiada.

“Ini adalah takdir yang kita tak dapat elak. Saya perlu fikir bagaimana kami dapat terus berkembang walaupun dengan ketiadaan pengasasnya,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau bagaimanapun bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada jawatankuasa sedia ada dan Lembaga Penasihat Darussyifa yang ditubuhkan selepas Haron meninggal dunia.

“Saya perlukan kerjasama mereka agar dapat membetulkan sekiranya saya terkurang atau terpesong dari tujuan asal penubuhan Darussyifa,” katanya.

Mengenai operasi harian Darussyifa, Abdul Rahman berkata, orang ramai masih yakin dengan pusat rawatan itu yang menawarkan kaedah perubatan alternatif Islam secara percuma, terutama buat mereka yang sudah buntu dengan kaedah perubatan konvensional.

“Sambutan tak menurun sebab rawatan dan pengajian kita berpandukan kepada ilmu yang ditinggalkan Tok Guru itu sendiri, ‘bukan adanya Tok Guru’,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui hakikat bahawa sejak ketiadaan Allahyarham, berlaku ‘pecahan’ dari segi jumlah kunjungan pesakit harian.

“Pesakit tak berkurang, cuma dulu pada Selasa terlampau ramai sebab majoriti mahu Tok Guru sendiri merawat, sampai 500 hingga 600 pesakit sehari, tapi sekarang jumlah pesakit yang datang sama sahaja setiap hari.

“Untuk pusat rawatan ini sahaja saya anggarkan kita dapat purata 200 pesakit sehari dan bilangan pesakit di pusat rawatan kecil di negeri-negeri tak berubah,” katanya.

Abdul Rahman berkata, jumlah pelajar baharu yang berdaftar untuk mengikuti kursus bagi mendapatkan sijil rawatan Islam Darussyifa juga tidak menunjukkan penurunan.

Malah, beberapa pusat pengajian akan dibuka di beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis, selain pusat pengajian sedia ada di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Bandar Baru Bangi sendiri.

Katanya, setakat ini Darussyifa mempunyai 10,000 ahli dengan 1,000 ahlinya aktif merawat di pusat rawatan berkenaan dan di 90 pusat rawatan kecil di seluruh negara.

Mengenai masa depan dan hala tuju Darussyifa, Abdul Rahman berkata, selaras hasrat Allahyarham yang mahu melihat Darussyifa kukuh dan menembusi peringkat antarabangsa, beberapa perancangan telah disusun, termasuklah menubuhkan pusat pengajian yang menawarkan kursus rawatan Islam peringkat diploma dan ijazah.

Jelasnya, walaupun mempunyai kekangan dari segi dana, beliau percaya kewujudan Yayasan Darussyifa dan Koperasi Darussyifa serta derma orang ramai sedikit-sebanyak dapat membantu merealisasikan cadangan ini.

Tegasnya, rawatan di Darussyifa juga kekal percuma.

“Allahyarham pernah menyatakan kebimbangan bahawa beliau amat berdukacita jika anak muridnya meminta bayaran daripada pesakit yang dirawatnya.

“Prinsipnya adalah rawatan percuma. Arwah pernah kata bila lagi kita nak buat pahala sebab kita di sini tak keluarkan modal, hanya berdoa dan jika pesakit sembuh kita dapat pahala. Kewangan baginya memang ‘di belakang’," katanya.

Selain itu, prinsip Allahyarham yang sentiasa menepati masa dan tidak pernah berdendam dengan sesiapa juga telah ditanamkan dalam diri setiap ahli Darussyifa.

“Pada saya beliau seorang yang kita boleh contohi tapi tak ramai yang boleh contohi beliau sebab Tok Guru ini orangnya berprinsip,” katanya.

Haron, yang juga Mursyidul Am PAS meninggal dunia pada 16 September 2016 di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat ketika menjalani rawatan sakit jantung.

Haron Din , Darussyifa , Abdul Rahman Ahmad

Artikel Sebelum

Cermat, Hemah Guna Tandas Pesawat

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain