suria

BN Tak Capai Konsensus, Tak Bentang RUU355 - Najib

KUALA LUMPUR: Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) tidak mencapai konsensus berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Pengerusi BN itu, seiring amalan mendapatkan konsensus dalam membuat keputusan, parti itu juga tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) 355 di Dewan Rakyat.

"Selaras dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berasaskan konsensus, oleh itu RUU ini akan terus menjadi bil persendirian dan terserah kepada Speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan mengikut aturan mesyuarat," katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini, Rabu malam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengesahkan kerajaan BN akan membentangkan RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini.

RUU355 pada asalnya dibentangkan secara persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

RUU 355, antara lain, bertujuan meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 senarai negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2a, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, di mana mahkamah syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Kata Najib, terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memutuskan sebarang ketetapan berkaitan RUU tersebut di Parlimen.

"Kalau Speaker memutuskan untuk membenarkannya, maka ia akan dibentangkan, Speaker juga akan memutuskan peraturan berhubung RUU tersebut," katanya.

Ditanya adakah ia bermaksud Ahli Parlimen BN tidak akan menyokong RUU berkenaan apabila ia dibentangkan di Parlimen atau mereka boleh mengundinya, Najib sekali lagi berkata, ia bergantung kepada peraturan Speaker.

"Mungkin ada atau tidak ada undian. Bergantung kepada peraturan Speaker," kata Najib.

Mengenai Umno dilihat cenderung kepada RUU tersebut, Najib bagaimanapun menafikannya.

"Tidak, kita semua percaya mengenai semangat dasar konsensus. Begitulah cara BN," tegas Najib.


BN, Najib, RUU355

Artikel Lain