suria

Kerajaan Tidak Tutup 30 Kedutaan Malaysia - Reezal Merican

Reezal Merican Naina Merican.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menutup 30 pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara seperti yang didakwa pihak tertentu, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Selasa.

Beliau berkata kesemua pejabat kedutaan itu penting bagi memastikan dasar luar dengan negara-negara berkenaan terus terpelihara.

Pada masa ini, katanya, Malaysia mempunyai 108 pejabat kedutaan di luar negara yang jumlahnya lebih rendah berbanding Indonesia dan Thailand.

"Kerajaan sentiasa melakukan kajian berkala berkaitan keperluan pejabat kedutaan.

"Walaupun ada negara kita lihat keperluan (pejabat kedutaan) tidak ada, tetapi duta akreditasi perlu ada bagi memastikan dasar hubungan luar dengan negara tersebut tetap terpelihara," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2016) 2017 di peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Sebelum itu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu) ketika perbahasan rang undang-undang itu mendakwa terdapatnya cadangan kerajaan untuk menutup 30 pejabat kedutaannya di luar negara. - BERNAMA

Artikel Lain