suria

Dera Budak, Tiga Pekerja Pusat Tuisyen Ditahan

JOHOR BARU: Polis menahan tiga pekerja pusat tuisyen atas dakwaan mendera seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad pada Selasa berkata dua suspek merupakan guru wanita di pusat tuisyen tersebut berusia 34 dan 23 tahun manakala suspek ketiga adalah seorang lelaki berusia 26 tahun bekerja sebagai pembantu.

Semua ditahan pada petang Isnin.

"Kami percaya tangkapan akan membolehkan kami untuk mempercepatkan siasatan terhadap kes penderaan itu," katanya.

Mohd Taib berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.

Beliau menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi talian hotline polis di 07-2212999 atau buat laporan polis di balai polis berhampiran.

Mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Taman Perling didakwa didera guru tuisyennya menggunakan cawan plastik dan kaca serta kuali kecil yang direndam di dalam air panas bagi menutup kesan rotan.

Malangnya, punggung kanak-kanak lelaki itu melecur teruk hingga berdarah dan helah guru tuisyen itu terbongkar apabila kanak-kanak itu melarikan diri sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran guru wanita berkenaan di Taman Perling.

dera, pusat tuisyen

Artikel Lain