suria

10 Rumah Hangus Di Port Dickson

Gambar hiasan.

PORT DICKSON: Sebanyak 10 buah rumah termasuk sebuah rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Air Meleleh, di sini, tengah malam Khamis.

Difahamkan lapan daripadanya adalah rumah berpenghuni dan dua rumah kosong.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Razif Mohmad Haris berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.28 malam dan tiba bersama 10 anggota kira-kira tiga minit kemudian.

"Kebakaran ini melibatkan sembilan buah rumah jenis separuh kekal dan sebuah rumah kedai dan daripada jumlah itu, lima daripadanya musnah 95 peratus manakala lima lagi sekitar 70 peratus," katanya ketika dihubungi Bernama, Jumaat.

Katanya, pihaknya dengan bantuan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan Seremban 2 hanya mengambil masa enam minit untuk mengawal api.

Katanya, kerugian dianggarkan berjumlah RM570,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Kesemua mangsa yang terlibat kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Gelam di sini.

Bomba

Artikel Lain