Ikut Contoh Terbaik Idola Anda - Usain Bolt - Semasa | mStar

Ikut Contoh Terbaik Idola Anda - Usain Bolt

Pemenang pingat emas sukan Olimpik Usain Bolt menunjukkan gaya tersendiri selepas menjadi anggota panel pada Forum Transformasi Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Khamis. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: "Ikut contoh terbaik idola anda."

Itu nasihat Manusia Terpantas Dunia, Usain Bolt yang turut mempunyai idolanya yang menguatkan semangatnya untuk berjaya, kepada atlet muda.

Bolt, dari Jamaica yang meraih kejuaraan berganda bagi acara 100 meter dan 200m pada Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016, mendedahkan beliau mengagumi bekas jaguh pecut Amerika Syarikat, Michael Johnson yang meraih empat kejuaraan Olimpik.

"Saya sering mahu menjadi juara Olimpik seperti dia (Johnson) sejak dari kecil dan Johnson menjadi idola saya kerana telah meraih banyak kejayaan," kata Bolt, 30.

Beliau berkata demikian di hadapan 3,000 hadirin dalam ceramah bertajuk 'Lightning Bolt Transformation: The Usain Bolt Code' yang dikendalikan pengacara dan wartawan CNN International, Richard Quest, di sini Khamis.

Ceramah itu adalah sebahagian daripada program dua hari Forum Tranformasi Global yang berakhir hari ini.

Bolt juga menegaskan disiplin diri adalah faktor utama yang membantu atlet untuk berjaya.

"Ia bukan perjalanan yang mudah untuk saya berada di kedudukan sekarang.

Banyak yang terpaksa dikorbankan termasuk melupakan hasrat berkumpul bersama rakan lain.

"Namun saya gembira mendapat sokongan daripada keluarga dalam olahraga," kata juara Olimpik dan dunia itu.

Bolt yang memegang rekod dunia acara 100 dan 200m turut mendedahkan bahawa beliau adalah pemain kriket ketika remaja sebelum bapanya menyedari potensi yang ada padanya untuk menjadi pelari pecut yang baik.