suria

Skim Rumah Mampu Milik Johor Terima Lebih 265,000 Permohonan Dalam Talian

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan untuk bertemu rakyat jelata selepas melancarkan Majlis Pra-Pelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim di Galleria Kotaraya Rabu. -fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp), anak syarikat kerajaan negeri, telah menerima lebih dari 265,000 pra-permohonan dalam talian bagi Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) sejak skim ini dilancarkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata saringan pemilihan akan dijalankan oleh satu jawatankuasa yang akan dibentuk dan anggotanya dipilih sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Katanya, kesemua permohonan akan disaring satu persatu agar ia memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Semua ini bagi memastikan pemilihannya dibuat secara telus dan adil sekali gus membolehkan objektif pelaksanaan pembinaan Rumah Impian Bangsa Johor dapat mencapai sasarannya.

"Sebagai pelaksana fasa pertama projek ini, JCorp akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan projek ini dapat siap pada tempoh yang ditetapkan dengan spesifikasi yang ditetapkan. Dengan pengalaman yang ada, saya yakin kami mampu melaksanakan projek ini seperti dirancang," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Mengenai kejadian orang ramai menyerbu kaunter pendaftaran pada Rabu, beliau berkata ia berlaku di luar jangkaan kerana sambutan luar biasa daripada rakyat Johor.

Katanya, JCorp melalui syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Berhad dengan kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim pada mulanya membuka kaunter untuk tujuan pra-pendaftaran.

Beliau berkata proses pendaftaran dalam talian pada mulanya juga dicadangkan hanya akan dibuka sehari selepas majlis pra-pelancaran projek berkenaan disempurnakan pada Rabu di Galleria, Kota Raya di sini.

"Bagaimanapun, selepas mendapat nasihat daripada pihak keselamatan apabila tempat pendaftaran mula dibanjiri orang ramai dan mengelakkan rempuhan serta kejadian tidak diingini berlaku, pihak sekretariat mengambil keputusan untuk membuka pendaftaran dalam talian lebih awal," katanya.

Kamaruzzaman berkata pihaknya maklum mengenai kekecewaan rakyat yang mula bersesak di kaunter pendaftaran sejak awal pagi walaupun ia hanya dibuka pada 5 petang.

"Atas keprihatinan itulah keputusan untuk membuka pendaftaran secara dalam talian dibuka lebih awal iaitu sejak petang semalam walaupun ketika itu ia masih dalam tempoh percubaan," katanya.

Pembinaan Rumah Impian Bangsa Johor adalah hasil cetusan idea daripada Sultan Ibrahim sendiri sebagai berita baik dan hadiah kepada rakyat Johor sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda, Khamis.

Artikel Lain