suria

Kerajaan Setuju Laksana Sistem Insurans Pekerjaan - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), melibatkan kira-kira 6.5 juta pekerja tempatan dalam sektor swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya satu undang-undang baharu sedang digubal dan akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen, Jun ini dan pelaksanaan SIP dijangka dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan, manakala bayaran faedah boleh dibuat mulai 1 Jan 2019.

"Pelaksanaan SIP akan dibiayai melalui caruman daripada pihak pekerja dan majikan. Dana SIP ini akan ditadbir urus oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Najib berkata SIP adalah satu jaringan keselamatan sosial yang bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baru.

"Pekerja juga akan mendapat bantuan saraan sementara dan mencari pekerjaan baharu melalui program perkhidmatan pekerjaan. Ini meliputi bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan," katanya.

Selain itu, Najib berkata pekerja yang kehilangan pekerjaan juga akan diberikan latihan secara latihan semula atau peningkatan kemahiran bagi mempertingkatkan kebolehankerjaan mereka.

Najib berkata kerajaan percaya inisiatif pelaksanaan SIP merupakan satu dasar jangka panjang yang akan memberikan impak positif khususnya kepada golongan pekerja dan majikan.

Katanya pengalaman negara lain menunjukkan bahawa SIP bertindak sebagai penstabil ekonomi dan membantu mengekalkan aktiviti ekonomi secara mampan, khususnya semasa kegawatan.

"SIP juga akan menambah baik kecekapan pasaran buruh melalui pemadanan penawaran dan permintaan yang lebih efisien, seterusnya meningkatkan produktiviti dan daya saing industri," katanya.

Artikel Lain