Polis Serbu Sindiket Seludup Ganja - Semasa | mStar

Polis Serbu Sindiket Seludup Ganja

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan (dua, kanan) bersama para pegawainya menunjukkan ganja mampat yang dirampas kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Rabu. -fotoBERNAMA

IPOH: Polis telah menyerbu sebuah rumah di Taman Cempaka di sini dan merampas 69kg ganja yang ditemui di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam serbuan pada pagi Selasa, pegawai Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman dan Jabatan Narkotik Perak telah menahan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah.

Ketiga-tiga mereka disyaki menggunakan SUV itu yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah dan menyeludup ganja.

Hasnan berkata ganja yang dirampas bernilai RM210,000 dan mungkin telah diedarkan kepada 140,000 pengguna.

"Kami turut merampas kenderaan dan barang kemas bernilai RM30,000.

"Ketiga-tiga yang ditangkap berumur 31 hingga 38 tahun. Seorang mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Mereka kini ditahan reman sehingga 27 Mac dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Perak di sini Rabu.

Hasnan berkata polis percaya kumpulan lelaki yang ditahan itu adalah sebahagian daripada sindiket ganja yang telah beroperasi selama tiga bulan.

Polis sedang menyoal siasat ketiga-tiga suspek untuk menentukan sama ada terdapat lebih ramai ahli dalam sindiket itu, katanya.

seludup ganja , Sting , narkotik

Artikel Berikut

Sarjan Polis Didakwa Rasuah

Lebih Artikel

Marcelo akui Real Madrid rindu Ronaldo