suria

KKM Kesan Lapan Produk Kosmetik Beracun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan lapan produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri, hydroquinone dan tretinoin, yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk tersebut ialah Moleek Day Cream, Adel Miracle Flawless Serum, Ah Beauty Night Cream yang mengandungi merkuri, Ndz UV Whitening (hydroquinone), Snow Cream Normal, Snow Cream Sensitif, Dnars Nar Cream - Sensitif dan Ellfie Night Cream (hydroquinone dan tretinoin).

"Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual dalam produk berkenaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Beliau berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

"Kesan daripada penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dr Noor Hisham berkata produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan membantu mengurangkan kedutan.

Namun begitu, beliau berkata penggunaan tanpa pengawasan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari. 

Bagi produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri, beliau berkata ia boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Selain itu, pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu," katanya. 

Beliau menambah bahawa penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. 

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. 

Beliau bekata penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. 

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya. 

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya. 

Dr Noor Hisham berkata orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Artikel Berikut

Artikel Lain