suria

Kelantan Akui Kesilapan Perjanjian Pembangunan Lembah Sireh

Sebahagian projek dalam pembangunan Lembah Sireh yang keseluruhannya seluas 1,000 hektar.

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui bahawa kerajaan Kelantan melakukan kesilapan semasa memeterai perjanjian dengan syarikat pemaju Liziz Standaco Sdn Bhd bagi pembangunan Lembah Sireh.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli negeri berkata bagaimanapun, kerajaan negeri telah mengadakan rundingan semula dengan syarikat berkenaan bagi mewujudkan situasi yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

"Kita buat beberapa perubahan (terhadap perjanjian awal) kerana terdapat beberapa isu besar. Kerajaan sepatutnya menyerahkan 1,000 hektar kepada pemaju tetapi setelah usaha dibuat, kita hanya dapat serah 700 hektar sahaja.

"Hasil perbincangan itu, syarikat itu bersetuju untuk menyerahkan sumbangan sebanyak RM148 juta kepada kerajaan negeri," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang bertanyakan mengenai dakwaan kegagalan tujuh janji yang dikemukakan syarikat pemaju itu bagi membangunkan Lembah Sireh.

Terdahulu, Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) bertanya mengenai status terkini pembayaran syarikat pemaju Liziz Standaco Sdn Bhd bagi pembangunan Lembah Sireh kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Md Alwi ketika ditemui di luar ketika dewan, berkata kerajaan Kelantan perlu berhati-hati ketika menerima tawaran daripada pihak swasta yang ingin turut serta dalam memajukan negeri ini.

Beliau berkata ini bagi mengelak kerajaan negeri ditipu pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mahu mencari keuntungan semata-mata.

Pada 2003, Kerajaan Kelantan dan Liziz Standaco Sdn Bhd menandatangani perjanjian bagi membangunkan Lembah Sireh.

Mengikut perjanjian itu, Liziz Standaco Sdn Bhd akan membina beberapa infrastruktur seperti mini stadium tertutup khusus untuk kaum wanita, jambatan dan masjid.-- Bernama



Kelantan, Lembah Sireh, Mohd Amar

Artikel Lain