suria

H5N1: 1,800 Unggas, 1,075 Telur Dilupuskan - JPVK

KOTA BHARU: Sebanyak 1,800 unggas dan 1,075 telur dilupuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan (JPVK) semalam dalam usaha membendung wabak selesema burung (H5N1) daripada merebak.

JPVK dalam satu kenyataan hari ini berkata selain itu, sebanyak 115 sampel dari 23 premis turut diambil dalam operasi pemantauan yang dijalankan agensi itu pada Ahad.

Jabatan itu bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi yang terlibat dengan aktiviti pelupusan dan pengambilan sampel yang disyaki dijangkiti H5N1.

"Secara keseluruhan sehingga 19 Mac lalu, sebanyak 28 lokasi disahkan positif virus H5N1 membabitkan enam jajahan iaitu Kota Bharu (14 lokasi), Pasir Mas (enam), Tumpat (tiga), Tanah Merah (satu), Bachok (satu) dan Pasir Puteh (tiga) melibatkan 43 premis. 

"Jumlah pelupusan keseluruhan setakat ini adalah 33,153 ternakan dan 13,342 telur, manakala bagi aktiviti pemantauan pula, sebanyak 3,127 sampel telah diambil daripada 525 pemilik," tambah kenyataan itu. 

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi meminta penternak atau penduduk kampung melaporkan kematian unggas mereka kepada JPVK dengan segera.

Beliau berkata ia bagi memudahkan operasi kawalan dilaksanakan, sekali gus membolehkan proses pemulihan dilakukan dengan segera.

"Kita berharap kerajaan negeri boleh mengisytiharkan negeri ini bebas daripada wabak ini secepat mungkin bagi membolehkan penternak kembali memulakan aktiviti penternakan mereka," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-13 di Kompleks Kota Darul Naim yang dirasmikan Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, di sini, Isnin.   

Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan wabak H5N1 sebagai bencana negeri selepas beberapa ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas. -- Bernama


JPVK, H5N1

Artikel Lain