suria

Pekerja Hotel Bakar Stor Selepas Samun Rakan

TAIPING: Seorang pekerja hotel bukan sahaja menyamun rakan sekerjanya, tetapi turut bertindak membakar sebuah stor di premis berkenaan di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata dalam kejadian pukul 5.35 pagi itu, suspek yang merupakan pekerja bahagian pembersihan telah memukul sehingga cedera seorang petugas kaunter pendaftaran.

Menurut Harrith Kam mangsa seorang wanita berusia 22 tahun sedang bertugas di kaunter hotel sebelum didatangi suspek yang bersenjatakan alat pembuka tayar.

"Suspek yang memakai topeng muka bertindak memukul mangsa dengan alat pembuka tayar dan merampas wang tunai RM1,000 dari laci kaunter.

"Selepas itu, suspek lari ke stor bahagian pembersihan di tingkat 1 dan bertindak membakar stor berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin. Harrith Kam berkata sebaik sampai ke lokasi, polis telah mengarahkan 13 tetamu hotel supaya keluar dari bangunan berikutan asap tebal.

Menurutnya, suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari di sekitar kawasan ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid berkata tiga jentera dengan 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 6.02 pagi.

"Bomba mengambil masa 30 minit untuk memadam kebakaran dan stor itu musnah 10 peratus," katanya sambil menambah jumlah kerugian masih disiasat. -- Bernama

Harrith Kam Abdullah, Taiping

Artikel Lain