suria

Anak Sempat Gurau, Peluk Manja - Ibu Mangsa

Misi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Kampung Timah SKC Bukit Beruntung terpaksa dihentikan sementara akibat hujan lebat pada 18 Mac 2017. - BERNAMA

HULU SELANGOR: "Makin kuat saya tolak pelukan mereka, makin erat mereka memeluk saya."

Demikian rintihan ibu kepada dua adik-beradik yang ditemukan mati lemas di Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung, menceritakan kenangan terakhirnya bersama-sama. 

Hasina Ibrahim, 45, berkata beliau tidak menyangka gurauan manja kedua-dua anaknya Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan Abdullah, 10, selepas bangun tidur pagi semalam menjadi gurauan terakhir buatnya. 

"Mereka (anak) memang sangat manja. Semalam bila bangun tidur, mereka gurau-gurau dan peluk saya.Adik baring di sebelah kiri, abang di sebelah kanan.

Kedua-dua peluk saya tapi saya buat-buat tolak mereka. 

"Saya cakap tidak mahu cium sebab dua-dua belum mandi. Tapi, makin kuat saya tolak mereka, makin erat mereka peluk saya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini Sabtu.

Hasina berkata anak kedua dan keempat daripada empat beradik itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 juga tidak hadir ke sekolah semalam kerana beliau tidak mengejutkan mereka. 

"Semalam (Jumaat) saya rasa berat hati sangat ingin kejutkan anak-anak ke sekolah malah bapa tiri mereka, Abdul Halim Rosli pun saya tidak kejutkan untuk pergi kerja. Tidak tahulah kenapa berat sangat rasa hati ini," katanya menurut laporan Bernama.

Hasina berkata kedua-dua anaknya kemudian keluar rumah kira-kira pukul 2.30 petang untuk bermain dengan rakan-rakannya sebelum beliau dimaklumkan mengenai kejadian lemas tersebut. 

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga kini tidak lagi sama selepas kehilangan dua adik-beradik tersebut namun reda dengan ujian Allah. 

"Tidak tahulah lepas ini macam mana ingin teruskan kehidupan. Memang saya agak sedih hilang dua anak sekelip mata. Semalam baru bergurau, hari ini sudah hilang di depan mata," katanya.

Shahrizat dan Shahrizwan merupakan dua daripada lapan kanak-kanak yang lemas selepas menangguk ikan di Sungai Selangor di Kampung Timah semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, lapan kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika menangguk ikan di sungai itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala lima lagi ditemukan lemas dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa dipergiatkan.

Artikel Lain