suria

AirAsia Lonjakkan Usaha Transformasi Digital

SEPANG: AirAsia akan terus mendigitalkan lagi operasi perniagaan dan perkhidmatan sebagai sebahagian aspirasinya untuk berubah kepada sistem penerbangan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata sumber AirAsia adalah bersumberkan digital memandangkan ia bermula dengan Internet dan menjadi syarikat penerbangan yang berasaskan media sosial.

"Dari segi bagaimana mendigitalkan syarikat penerbangan ini, bagi penilaian saya, kami hanya mencapai kira-kira 30 peratus, namun banyak yang masih lagi di belakang kami.

"Saya berharap menjelang akhir 2018, kami akan mencapai lebih 70 peratus digital," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 'Airvolution 2017: Menerajui Inovasi di Asean', acara hackathon yang julung kali diadakan oleh syarikat penerbangan itu, di sini, Sabtu.

Katanya, beliau mahu menyaksikan lebih banyak penggunaan Internet Kebendaan, analisis data raya dan lebih banyak operasi tanpa kertas dalam operasi dan perkhidmatan AirAsia, apabila syarikat menjadi lebih digital.

Ia, katanya, akan memberi penjimatan kos yang besar, serta mempertingkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan, sekali gus menjana lebih banyak perolehan pada masa depan.

Fernandes berkata, hackathon itu diperkenalkan setelah beliau mendapati syarikat penerbangan itu tidak bergerak cukup pantas ke arah digital dengan memanfaatkan sumber dalaman, serta syarikat teknologi dan maklumat utama.

"Jadi, bersama-sama mereka yang muda dan inovatif, kami berharap dapat menyaksikan idea-idea baharu untuk membantu kami," katanya.

Sebanyak 25 pasukan pembangun mengambil bahagian dalam acara dua hari itu.

Berbeza daripada hackathon lain yang bertujuan penggodaman am, AsiaAirvolution 2017 menumpukan kepada mencari penyelesaian yang boleh membantu menangani masalah dalam pasaran syarikat penerbangan itu.

Acara hari ini, ditaja oleh Microsoft, AirAsia Santan, Program Kesetiaan AirAsia BIG, antara lain, terbuka kepada peserta tanpa mengira warga negara yang kini tinggal di mana-mana 26 negara berada dalam jaringan luas AirAsia.

Syarikat penerbangan itu berkata, penyelesaian yang dihantar semasa acara itu akan dinilai oleh panel pakar teknologi dan penerbangan untuk memilih yang terbaik, berdasarkan keaslian, kebolehskalaan dan pelaksanaan.

Pemenang akan diumumkan esok dan bakal menerima hadiah wang tunai, mata ganjaran AirAsia BIG dan penerbangan pergi balik secara percuma ke destinasi AirAsia pilihan mereka, menurut AirAsia.-- Bernama


AirAsia, Tony Fernandes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain