suria

Yang Di-Pertuan Agong Sempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V (dua,kanan) berkenan menyampaikan anugerah pegawai kadet terbaik Tentera Udara Diraja Malaysia kepada Pegawai Rendah Udara Muda Nur Antasha Zulkarnain (kiri) pada Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2017 di Kem Perdana Sungai Besi, Sabtu.Turut mengiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan).

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V  berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet dan Pegawai Graduan ATM 2017 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Pada istiadat itu, Seri Paduka menyampaikan watikah pentauliahan kepada 339 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan yang tamat latihan bagi tempoh empat hingga lima tahun, sepanjang pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Mereka terdiri daripada 194 pegawai kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 97 pegawai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 48 pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pegawai Rendah Kanan Muhd Hafiz Muhd Yusoff dianugerahkan Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan Akademik Latihan Ketenteraan pada istiadat itu.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Kuasa itu menerima Piala Seri Perkasa dan sebilah pedang.

Turut hadir pada istiadat itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalannya Datuk Mohd Johari Baharum, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Naib Canselor UPNM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.-- Bernama


Sultan Muhammad, ATM

Artikel Lain