suria

H5N1: Tak Perlu Risau Jika Ayam Dimasak Dengan Betul - Dr Hilmi

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak perlu bimbang terkena wabak selesema burung (H5N1) selagi ayam daging yang dimakan itu telah dimasak dengan betul.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, risiko untuk manusia terkena jangkitan virus itu hanya berlaku jika ayam tidak dimasak atau dikendalikan dengan sempurna.

"Bakteria atau virus itu akan mati jika ia dimasak pada suhu 100 darjah celcius dan ke atas.

"Kita di Malaysia tak makan ayam mentah-mentah, kita masak ayam itu jadi tak timbul soal jangkitan...makanlah ayam dari mana pun ia memang selamat jika dimasak dengan betul," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Menurut Dr Hilmi, walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertanggungjawab memantau ayam di negara ini, Kementerian Kesihatan turut melakukan pemantauan melalui pejabat kesihatan negeri jika terdapat sebarang laporan kes jangkitan.

Katanya, setakat ini tiada jangkitan kepada manusia dilaporkan di negeri Kelantan.

"Jika ada kes kita akan bagi rawatan secukupnya," katanya.

Virus H5N1 yang menyerang unggas dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kelantan pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Pada Rabu, kerajaan Kelantan telah mengisytiharkan wabak selesema burung sebagai bencana negeri.

Ini berikutan merebaknya wabak itu di dua lagi jajahan iaitu Bachok dan Pasir Puteh selepas Kota Bharu dan Pasir Mas.

selsema burung, Kelantan, Dr Hilmi

Artikel Sebelum

Artikel Lain