suria

Grand Lexis Hibiscus Dalam Senarai Guinness World Records

Kakitangan Lexis Hibiscus Port Dickson bersama anugerah yang diterima sempena Majlis Penyerahan Plak oleh Guinness World Record di atas pencapaian Kolam Renang Terbanyak di 643 Unit Resort dan Villa Atas Air Terbanyak di 522 Unit Resort, Selasa. -fotoBERNAMA
PORT DICKSON: Grand Lexis Hibiscus pada Selasa disenaraikan dalam Guinness World Records sebagai 'Resort dengan kolam renang terbanyak 643' dan 'Resort dengan vila di atas air terbanyak 522'.

Wakil Guinness World Records Swapnil Dangarikar menyampaikan dua plak pengiktirafan itu kepada pemilik hartanah berkenaan Pengarah Urusan Kuala Lumpur Metro Datuk Low Tak Fatt dan Presiden Kumpulan Hotel Lexis Mandy Chew Siok Cheng, dengan disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata lebih ramai rakyat Malaysia, sama ada individu atau syarikat korporat, wajar mencontohi Lexis Hibiscus Port Dickson meletakkan Malaysia pada kedudukan positif dan setanding dengan pihak lain di dunia.

"Lexis Hibiscus Port Dickson mencipta rekod baharu di negara ini dengan menjadi resort pertama yang melengkapi setiap biliknya dengan kolam renang dan bilik mandi wap untuk bersantai serta melakukan aktiviti bagi tujuan beristirahat.

"Sentuhan inovatif inilah yang memungkinkan resort ini mencapai dan merangkul bukan sahaja satu malah dua kedudukan yang amat dipandang tinggi dalam Guinness World Records iaitu 'Resort dengan kolam renang terbanyak 643' dan 'Resort dengan vila di atas air terbanyak 522'.

"Saya ingin menegaskan bahawa ia adalah pencapaian yang amat istimewa apabila resort ini dan Malaysia mendapat pengiktirafan dan pujian daripada sebuah institusi berprestij, yang terkenal kerana usahanya mendokumentasikan pencapaian yang memecah rekod," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Mas Ermieyati.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Kuala Lumpur Metro Datuk Mat Hassan Esa.

Sementara itu, Low berkata dengan pengiktirafan Guinness World Records itu, beliau menjangka kadar penginapan hotel berkenaan akan meningkat kepada 70 peratus berbanding 60 peratus sekarang, hasil daripada usaha pengiklanan secara agresif melalui jerayawara, pesta perjalanan dan perdagangan dan pemasaran media sosial.

Lexis Hibiscus Port Dickson menyediakan 639 vila dilengkapi kolam renang yang terdiri daripada 117 bilik menara dan 522 bilik vila di atas air.

Mengenai perkembangan lain, Low berkata kumpulan itu merancang untuk membuka sebuah lagi resort di Melaka yang berkonsepkan rumah air.

"Kami sedang berbincang dengan kerajaan negeri berkenaan dan mencari rakan usaha sama untuk membinanya," kata beliau sambil menjelaskan bahawa selain Lexis Hibiscus Port Dickson, kumpulan itu juga mengurus Lexis PD, Grand Lexis PD dan Lexis Suites Penang.

Artikel Lain