suria

Tahan Sakit Dipatuk Ular Lebih 36 Jam

Gambar hiasan.

KUANTAN: Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih 36 jam setelah dipatuk ular ketika mendaki bersama dua rakannya di Gunung Semangkuk berhampiran Bukit Fraser dekat Raub pada Sabtu malam.

Mangsa, Bakhtiar Itam Shamsudin, 44, dipatuk ular kira-kira pukul 10 malam Sabtu dan pasukan penyelamat hanya berjaya membawanya keluar mendapatkan rawatan pagi Isnin kerana helikopter tidak dapat mengambil mangsa akibat kabus tebal pada Ahad.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.24 pagi Ahad, kira-kira 12 jam selepas ianya berlaku.

"Pasukan menyelamat dikerah mengikut laluan pendakian biasa dan ia mengambil masa antara 12 dan 14 jam untuk sampai ke lokasi," katanya.

Shahrulnizam berkata mangsa yang masih selamat berjaya dibawa keluar bersama dua rakannya pada 10.45 pagi Isnin dengan helikopter Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Bertam.

Beliau berkata Bakhtiar dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil di bawah pemantauan doktor.

Katanya seramai 30 anggota penyelamat terlibat dalam misi menyelamat mangsa berkenaan. - BERNAMA



patuk ular, Gunung Semangkuk

Artikel Lain