suria

GAPENA Bantah Tindakan Annuar Bawa Isu UEC Ke Parlimen

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) membantah tindakan Tan Sri Annuar Musa yang akan membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Parlimen.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata tindakan tersebut akan merosakkan aspirasi pembentukan negara bangsa sebagaimana dirangka kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan.

"UEC untuk sekolah aliran Cina tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tegas Zainal Abidin, UEC tidak harus diiktiraf kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan yang mantap selain diiktiraf di dalam negara serta di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Annuar Musa yang juga Ketua Penerangan Umno mengenai isu pengiktirafan UEC yang disiarkan dalam akhbar The Star dan NSTP pada 11 Mac lalu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menegaskan menolak untuk mengiktiraf UEC kerana tidak selaras dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Pendidikan 1996.

Bagaimanapun Annuar pada bulan lalu menyarankan pelajar lulusan UEC memohon masuk ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kerana universiti swasta itu mengiktiraf mereka sebagai pelajar antarabangsa.

Namun, ia disangkal Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan UniKL tidak mengiktiraf UEC kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan mengkaji cadangan mengiktiraf UEC di peringkat kebangsaan.

Kata Ahmad Zahid, Menteri Pendidikan telah diarahkan agar meneliti perkara itu sebelum mengemukakan saranan kepada kerajaan.

GAPENA, Annuar Musa, UEC

Artikel Lain