suria

UUM Jana Pendapatan Anak Syarikat

Ahli-ahli LPU UUM dan peserta bergambar kenangan selepas sesi 'brainstorming'.

PETALING JAYA: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyusun strategi baharu bagi berdepan tekanan ekonomi yang melanda negara pada masa kini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UUM, Tan Sri Siti Sa'adiah Sheikh Bakir, berkata, UUM mempunyai banyak aset yang mungkin belum digembleng ke arah itu dan ia harus dijadikan peluang untuk menjana kekayaan universiti.

"Dalam keadaan semua organisasi kerajaan menghadapi masalah kewangan bagi menampung perbelanjaan tahunan, UUM perlu berusaha meningkatkan pendapatan melalui aktiviti perniagaan anak-anak syarikatnya.

"Ahli-ahli LPU UUM akan sentiasa memberi garis panduan dan pandangan untuk memastikan strategi tersebut berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi percambahan 'brainstorming' bersama ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat iaitu Uniutama Management Holdings Sdn Bhd (UMHSB) dan anak-anak syarikat di bawahnya di Kampus Sintok baru-baru ini.

Anak-anak syarikat tersebut termasuklah Uniutama Properties Sdn Bhd (UPSB), Uniutama Education and Consultancy (UEC), dan Uniutama Serindit (USSB) dan beberapa lagi.

Siti Sa'adiah dan Mohamed Mustafa menyertai sesi percambahan fikiran.

Sa'adiah yang juga Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad berkata, sesi percambahan fikiran tersebut telah berjaya mengumpul idea dan pandangan untuk diutarakan kepada pihak tertinggi UUM bagi memanfaatkan kedua-dua pihak iaitu universiti dan syarikat.

Beliau  menambah, sesi itu juga penting bagi melihat hubungan UUM dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkaitan bajet dan geran memandangkan universiti kini diminta untuk berdikari dalam menjana kewangan sendiri.

"Dengan adanya ahli LPU, golongan profesor dan ahli lembaga pengarah syarikat, UUM akan menggembleng tenaga untuk menjana pendapatan syarikat dalam apa jua cara yang mungkin sebelum ini tidak pernah ada dalam perancangan," katanya.

Sesi tersebut turut disertai Naib Canselor Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan ahli-ahli LPU. Antara lain mereka diberi taklimat tentang kemajuan syarikat.

Hadir sama, ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, profesor dan pegawai-pegawai kanan UUM.


Artikel Lain