suria

Singapura Secara Rasmi Perkenal Kereta Elektrik Canggih

SINGAPURA: Singapura secara rasminya memperkenalkan kereta elektrik yang canggih dari segi teknologi, Vanda Dendrobium di Pertunjukan Kereta Geneva.

Menurut carmagazine.co.uk, ia telah membuat pratonton awal Vanda Dendrobium di syarikat Williams Advanced Engineering di United Kingdom, cabang perundingan pasukan F1.

Ia ditugaskan dengan kejuruteraan dan pembinaan kereta pertunjukan itu bagi pihak penciptanya, Vanda Electrics, syarikat berpangkalan di Singapura yang ditubuhkan pada 2016, yang tidak pernah menghasilkan kereta sebelum ini, atau tidak mempunyai rancangan untuk menjadi pengeluar automotif secara besar-besaran.

Perkara paling hampir kepada siri pengeluaran kenderaan dalam portfolio semasa ialah skuter elektrik kecil, Motochimp, yang dijual di Jepun pada musim panas 2017 serta kenderaan elektrik satu tan, Ant Truck, yang akan dikeluarkan sebelum 2018, kata majalah tersebut.

Laman web itu berkata, Vanda Dendrobium dirancang bagi mencetuskan minat dan kesedaran dalam jenama berkenaan.

Kereta kedua akan dikeluarkan jika Dendrobium berjaya, katanya. 

"Kami sedang memutuskan sama ada akan mengeluarkan kereta itu sepenuhnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Vanda Electric, Larissa Tan dipetik sebagai berkata dalam laman web tersebut.

"Kita merancang untuk berbuat demikian, tetapi reaksi di Geneva akan menjadi kunci. Jika reaksinya baik, kereta itu akan dikeluarkan dalam berpuluh dan bukannya beratus."

Laman web itu berkata, jika Vanda Dendrobium diputuskan untuk pengeluaran, Williams Advanced Engineering kemungkinan besar akan menjadi rakan kongsi pembinaan.

Mengenai potensi kos pengeluaran kereta berkenaan, CAR menulis "kita boleh menjangka versi pengeluaran akan mencatat 'tanda harga tujuh angka'.

Dendrobium adalah spesies orkid yang berasal dari Singapura di mana sebahagian besar daripada reka bentuk konsep diilhamkan oleh alam semula jadi, dengan sarang lebah mencorakkan tema berulang, kata laman web itu.

Jika Vanda Dendrobium dijual, bilakah ia akan berada di atas jalan, Tan dilaporkan berkata :"Kami sedang menunggu teknologi yang sesuai dengan reka bentuk dan masa yang tepat. Kami selah memutuskan yang sekarang adalah masa yang tepat untuk merealisasikannya."

Reka bentuk penting kereta itu telah wujud sebagai projek konsep sejak pertengahan 1990-an dan diubah suai lagi pada pertengahan 2000-an.

Laman web itu berkata, Williams Advanced Engineering menerima lakaran awal daripada Vanda Electrics pada Disember 2015 dan memulakan kerja pada awal tahun berikutnya.-- Bernama

Singapura, Vanda Dendrobium

Artikel Lain