suria

Tiada Amaran Jerung Di Pulau Kapas

PETALING JAYA: Tiada amaran mengenai kehadiran ikan jerung diletakkan di sekitar Pulau Kapas, kata Jabatan Taman Laut Terengganu.

Jabatan itu juga menafikan gambar viral yang memaparkan seekor jerung ditangkap di perairan Pulau Kapas, sebaliknya menjelaskan mamalia itu ditangkap kira-kira satu batu nautika dari Taman Laut Pulau Kapas.

"Setakat ini, tiada rekod adanya serangan jerung atau kehadirannya dikesan di sekitar Pulau Kapas, mahupun di perairan Terengganu.

"Orang ramai tidak seharusnya takut kerana gambar yang menjadi viral itu," kata pengarah jabatan berkenaan, Muhammad Nur Ashry Bahari seperti disiarkan media tempatan.

Gambar ikan jerung yang dimuatnaik menerusi laman Facebook Himpunan Anak Marang itu menunjukkan seorang lelaki bergambar dengan ikan yang digantung di jeti Pulau Kapas.

Ia juga memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melawat pulau itu kerana kehadiran ikan jerung di Taman Laut Pulau Kapas.

Ketika dihubungi, penduduk Marang itu berkata, ikan jerung itu ditangkap nelayan tempatan dua hari lalu.

Pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hamie Azreen Ami Nordin berkata, lebih 10 pelanggan telah membatalkan tempahan sejak gambar itu menjadi viral.

"Kini, ramai yang takut untuk datang ke Pulau Kapas untuk beriadah," katanya.

Tambahnya, pelanggannya masih takut walaupun telah dijelaskan ikan jerung itu bukannya ditangkap di pulau itu.

Sementara itu, pengusaha syarikat bot berusia 56 tahun, Zakaria Sulong berkata, ikan jerung itu tersangkut pada jala yang dipasang nelayan.

"Ikan jerung itu ditangkap di kawasan yang jauh dari Pulau Kapas, ia tersangkut secara tidak sengaja pada jala nelayan," katanya.


jerung, Pulau Kapas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain