suria

Kerajaan Jamin Keselamatan Rakyat Malaysia Di Korea Utara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Perdana Menteri berkata fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara pulang ke tanah air dengan selamat.

"Saya faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara," kata Najib menerusi catatan di laman blog beliau, Selasa.

Perdana Menteri yang kembali dari lawatan kerja ke Jakarta petang tadi telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan tindakan Pyongyang hari ini yang mengenakan larangan sementara ke atas semua warga Malaysia daripada meninggalkan negara itu. 

Menurut Najib, beliau telah diberikan taklimat terperinci mengenai situasi semasa yang berlaku ketika ini dalam mesyuarat yang berlangsung kira-kira 45 minit itu.

Antara yang hadir pada mesyuarat tergempar MKN itu ialah TimbalanPerdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, seramai 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kini masih di Korea Utara dan dalam keadaan selamat.   

Mereka yang lain terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain