suria

Haiwan Rampasan 'Bentuk' Sebuah Zoo Mini Di Pejabat Perhilitan

KUALA LUMPUR: Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dilihat seolah-olah mempunyai sebuah zoo mini dengan 'kehadiran' kira-kira 30 jenis haiwan yang telah diselamatkan, termasuklah seekor memerang dan anak buaya.

Burung-burung berkicauan dan ayam hutan berkokok ketika Ketua Pengarah Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim mengadakan sidang akhbar, Jumaat.

Burung, ayam hutan, memerang dan buaya ini adalah sebahagian daripada 207 ekor haiwan yang diselamatkan dalam satu siri serbuan oleh Perhilitan.

'Kehadiran' haiwan-haiwan ini pada sidang akhbar sedikit-sebanyak telah menghiburkan semua pihak yang hadir, termasuklah pihak media.

Pada 28 Februari lalu, seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di sebuah kediaman di Kuala Lipis, Pahang, kerana memiliki hidupan liar tanpa permit Perhilitan.

Kediamannya telah diserbu dan Perhilitan telah menyelamatkan 156 ekor burung murai, tiga ekor burung Tiong Mas dan enam ekor ayam hutan.

Perhilitan percaya lelaki itu bersedia untuk menyeludup burung-burung tersebut ke negara jiran.

Dalam satu lagi serbuan pada hari yang sama, Perhilitan menahan seorang wanita berusia 37 tahun di Puncak Alam, Selangor, kerana memelihara memerang dan musang tanpa permit.

Seorang lagi wanita berusia 37 tahun ditahan di Jenjarom, Selangor, kerana memelihara empat ekor helang di rumah tanpa permit pada 23 Februari.

Pada 22 Februari lalu, seorang warga Bangladesh berusia 37 tahun ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa KL kerana menyeludup 35 ekor kura-kura kolam hitam dalam dua buah bagasi yang dibawa ke dalam kabin.

Lelaki itu yang terbang ke Malaysia dari Dhaka, didakwa dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM12,000 sementara menunggu tarikh sebutan seterusnya pada 28 Mac.

Pada 20 Februari lalu, seorang lelaki telah ditahan di Banting, Selangor, kerana memiliki anak buaya.

Abdul Kadir berkata, kesemua 207 haiwan itu dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM105,300 di pasaran gelap.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memburu hidupan liar atau memeliharanya tanpa kebenaran kerana ia bertentangan dengan undang-undang.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi hotline Perhillitan 1800 88 5151 atau e-aduan di www.wildlife.gov.my.

Artikel Lain