suria

Dua Syarikat Dikait Ejen Risikan Korea Utara Dalam Proses Penutupan - KPN

Khalid Abu Bakar.

PETALING JAYA: Dua buah syarikat yang dikaitkan dengan ejen perisikan Korea Utara di sini seperti yang dilaporkan media antarabangsa, sedang dalam proses penutupan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau dalam satu kenyataan pada pagi Selasa berkata, tiada syarikat yang mempunyai nama Glocom di Malaysia seperti yang didakwa dalam laporan tersebut.

Namun kata Khalid, laporan itu mendakwa bahawa laman web glocom.com.my didaftarkan pada 2009 oleh entiti bernama International Global System Sdn Bhd dan sebuah lagi syarikat yang hampir sama dengan nama International Golden Services Sdn Bhd yang turut disenarai dalam laman web itu mempunyai kaitan yang sama dan boleh dihubungi.

Jelasnya, kedua-dua syarikat itu dilaporkan dikawal oleh pemilik saham dan pengarah Korea Utara.

"Polis sentiasa memantau dan mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan Malaysia tidak digunakan untuk menjalankan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Kita juga telah mengambil segala tindakan yang perlu untuk mematuhi peraturan-peraturan antarabangsa berkaitan sekatan (ke atas Korea Utara),” kata Khalid, merujuk kepada sekatan yang dikuatkuasakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Pyongyang.

PBB dan beberapa negara Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ekonomi yang ketat terhadap Korea Utara kerana melaksanan beberapa siri ujian nuklear dan peluru berpandu yang mengancam keamanan serta kestabilan serantau dan dunia.

Dalam pada itu, Khalid berkata, syarikat International Global Systems Sdn Bhd didaftarkan pada 2005 dan menjalankan perniagaan elektronik dan multimedia serta perdagangan.

Beliau menambah, International Golden Services Sdn Bhd pula didaftarkan pada 2012 sebagai perniagaan produk teknologi komunikasi dan teknologi maklumat serta penyedia penyelesaian. 

Pada Isnin, Reuters melaporkan Glocom adalah syarikat yang didakwa dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang menjual peralatan ketenteraan di Brickfields, Kuala Lumpur.

Reuters mendakwa, Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi 'tentera dan separa tentera' di laman web miliknya di Malaysia, glocom.com.my.

Bagaimanapun, laman web berkenaan sudah ditutup dan tidak lagi aktif sejak akhir tahun lalu.

Reuters yang memetik laporan Suruhanjaya Keselamatan PBB mendakwa urusniaga syarikat itu sebagai melanggar sekatan PBB.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain