suria

Najib Bukan Pegawai Awam, Tidak Boleh Disaman Salah Guna Jawatan Awam - Peguam

Datuk Mohd Hafarizam Harun
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain tidak boleh mendakwa bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kapasitinya sebagai pegawai awam telah menyalahgunakan jawatan awam berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata ini kerana Najib merupakan seorang anggota pentadbiran dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan tidak memasukkan anggota pentadbiran untuk tersenarai dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Cecil Abraham selesai berhujah di dalam kamar di hadapan Hakim  Abu Bakar Jais.

Mahkamah hari ini mendengar hujahan berhubung permohonan Najib untuk membatalkan saman dikemukakan terhadapnya oleh Dr Mahathir, 90, bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, 41.

Mohd Hafarizam berkata hujahan defendan adalah terdapat perbezaan antara perkhidmatan awam, jawatan awam, kakitangan awam dan anggota pentadbiran.

"Tan Sri Cecil berhujah bahawa Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan tidak memasukkan anggota pentadbiran untuk tersenarai dalam perkhidmatan awam.

"Siapakah anggota pentadbiran? Mereka ialah menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan dengan itu termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri," kata Mohd Hafarizam.

Peguam itu berkata Cecil juga berhujah bahawa dengan membaca kenyataan tuntutan itu, peguam mewakili defendan tidak menemukan sebarang butiran bahawa Najib ialah pegawai awam, bahawa beliau telah melakukan perbuatan yang telah menjejaskan dan bahawa tindakan Najib itu dilakukan dengan niat jahat.

"Tan Sri Cecil berhujah itulah hujahan pertamanya yang bermaksud butiran mengenai salah guna kedudukan itu tidak ada," katanya.

Mohd Hafarizam berkata para plaintif dalam tuntutan mereka telah gagal untuk memperincikan bagaimana Najib telah menggunakan kuasanya untuk menjejaskan mereka (Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina).

Beliau berkata mahkamah menangguhkan penghakiman ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Peguam mewakili ketiga-tiga plaintif, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pemberita bahawa dalam hujahannya beliau menyatakan kes saman itu tidak sepatutnya dibatalkan pada peringkat ini dan menggesa mahkamah memutuskan bahawa kes itu perlu menjalani perbicaraan penuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain