suria

Himpunan 355: Bawa Bayi, Kanak-Kanak Langgar Akta Perhimpunan Aman

KUALA LUMPUR: Peserta Himpunan 355 didapati melanggar syarat perhimpunan mengikut Seksyen 4 (2)(f) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana  membawa bayi dan kanak-kanak ketika berhimpun.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata antara pukul 2 petang hingga 11.30 malam Sabtu, polis yang bertugas di Padang Merbok dan Jalan Parlimen di sini mendapati ramai peserta perhimpunan itu yang memakai baju ungu membawa bayi dan kanak-kanak.

"Hasil siasatan awal mendapati bayi dan kanak-kanak yang dibawa menghadiri perhimpunan tersebut dalam lingkungan umur tujuh bulan hingga 15 tahun.

"Kes masih dalam siasatan dan sehingga kini tiada tangkapan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Himpunan 355 yang diadakan di Padang Merbok, di sini bertujuan memberi penerangan kepada umat Islam mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. 

Antara lain, cadangan pindaan itu membabitkan usaha mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam sahaja dan langsung tidak memberi kesan kepada golongan bukan Islam. -- Bernama

Artikel Lain