suria

Bekas Penjaga Jentera Terlepas Hukuman Mati

SHAH ALAM: Seorang bekas penjaga jentera terselamat daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang kenalan wanita yang mayatnya ditemukan rentung, lima tahun lepas.

Agensi berita Bernama melaporkan, Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim memutuskan sedemikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap B. Vijendran, 38.

Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan lelaki tersebut tanpa perlu dipanggil membela diri.

Seramai 19 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 18 Januari tahun lepas.

Vijendran didakwa membunuh P. Yogambika, 27, di kaki lima Tingkat 9, Blok B, Mesra Prima Apartment, Jalan Ikan Emas, Ampang Jaya dekat sini, kira-kira 10 malam pada 28 Jun 2012.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Vijendran diwakili peguam N. Sivananthan sementara Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi hadir bagi pihak pendakwaan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa, seorang kerani bank, yang baru dua minggu mengikat tali pertunangan dijumpai dalam keadaan rentung selepas diserang dan dibakar di hadapan rumahnya di sebuah apartmen di Ampang.

Hukuman Mati

Artikel Sebelum

Murid Tahun Lima Ditemukan Lemas

Artikel Lain