suria

Cetak Rompak: Enam Tahun Melarikan Diri, Lelaki Didenda RM20 Juta

PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen Ampang pada 6 Februari lepas mengenakan hukuman denda sebanyak RM20 juta terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah dan disabit kesalahan kerana memiliki DVD dan VCD cetak rompak enam tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi mengenakan hukuman tersebut ke atas Chua Hock Huat, 40, bagi 5 pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) (d) Akta Hak Cipta 1987. Tertuduh bagaimanapun tidak mampu membayar denda yang dikenakan dan terpaksa menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, tertuduh telah ditangkap di sebuah premis di Taman Rasa Sayang, Batu 9, Cheras pada 25 April 2005 kerana memiliki 5690 keping DVD dan VCD cetak rompak. 

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen Ampang bermula tahun 2006 sehingga tertuduh disabitkan dengan kesalahan pada 30 Jun 2010. Namun, tertuduh yang pada masa itu dalam jaminan telah melarikan diri ketika menunggu tarikh hukuman.

Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya telah berjaya mengesan dan menangkap tertuduh pada 5 Februari dengan kerjasama pihak polis.

Datuk Mohd Roslan juga berkata pihak kementerian amat menghargai sokongan daripada mahkamah dan polis kerana membantu kementerian memerangi jenayah cetak rompak dan menaikkan nama Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mengambil serius terhadap perlindungan industri harta intelek.

Perbicaraan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Ahmad Abdullah.-Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain