suria

Jamal Serah Surat Letak Jawatan

Jamal ketika menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Noh di Putrajaya, Rabu.

PETALING JAYA: Pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar menyerahkan surat itu kepada Noh di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu.

Mesej menerusi WhatApp, Jamal menjelaskan peletakan jawatannya itu khusus untuk jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional Sungai Besar.

Menerusi surat kepada Noh, Jamal berkata, penahanannya minggu lalu telah menjatuhkan imej Umno.

"Seperti yang diketahui, saya telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam rompakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan seterusnya ditahan reman selama lima hari di ibu pejabat polis Shah Alam.

"Saya percaya apa yang berlaku itu telah memburukkan imej parti dan kepimpinannya terutama di Selangor.

"Sebagai seorang yang sayangkan parti, saya mahu mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan saya dan dengan itu berhasrat meletak jawatan.

"Saya akan terima sebarang keputusan yang dibuat parti," katanya menerusi surat bertarikh 7 Februari itu.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar ketika menemui Noh di Putrajaya, bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut mengenainya.

Jamal ditahan bersama sembilan rakannya pada 2 Februari lalu kerana memasuki pusat perjudian di Selangor.

Jamal, Noh, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain