suria

'Jamal' Bukti Undang-Undang Wujud - Noh Omar

SHAH ALAM: Penahanan ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, membuktikan pelaksanaan undang-undang wujud di Malaysia, Kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, mana-mana individu yang ditahan tidak boleh dilihat sebagai bersalah selagi tidak terbukti di mahkamah.

"Biar polis dan mahkamah membuktikan dan memutuskan sama ada beliau bersalah. Walaupun telah ditahan dan direman, tidak bermakna beliau melakukan kesalahan.

"Kita perlu undang-undang menentukan dan saya berharap prinsip 'tidak bersalah selagi belum dibuktikan, terus dipegang," kata Noh Omar pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di pasar basah di Seksyen 16 pada Ahad.

Polis menahan Jamal pada Kahmis manakala sembilan pengikutnya ditahan pada Rabu malam bagi membantu siasatan kes rompakan di sebuah pusat hiburan di Ampang.

Pusat hiburan itu merupakan satu daripada lokasi 'serbuan' Gerakan Baju Merah bagi membongkar aktiviti haram.

Seorang daripada pemilik premis tersebut mendakwa mereka kehilangan beberapa barang selepas Jamal bersama kumpulannya melakukan serbuan.

Jamal, yang merupakan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, direman selama lima hari sejak Jumaat.

Beliau dan pengikutnya disiasat mengikut Seksyen 395 Kod Penal berhubung rompak secara berkumpulan.

Noh Omar, Jamal Yunos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain