suria

Sistem Awas, Kejara Dilaksana April Ini - Tiong Lai

Liow Tiong Lai memberi sentuhan peribadinya pada mural yang dikelolakan Anih Berhad untuk kempen keselamatan jalan raya. Dari kiri, Presiden dan CEO Anih Bhd, Tan Sri Dr Azmil Khalid, Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Datuk Ismail Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Arifin Che Mat. AZLINA ABDULLAH/THE STAR

BENTONG: Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang bakal dilaksanakan April ini dilihat mampu mengurangkan kes kemalangan jalan raya di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sistem yang  dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu kini di peringkat akhir  melibatkan pautan ke laman sesawang JPJ bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas mereka.

"Ini sistem canggih yang melibatkan kamera litar tertutup dibantu sistem IT untuk mengenal pasti dan mengesan semua pesalah jalan raya dalam masa yang singkat.

"Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, kompaun, digantung lesen dan akhirnya disenarai hitam akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat.

"Sistem ini masih mengkaji medium yang sesuai untuk memberi notis kesalahan kepada pesalah dan perkara ini akan diumumkan kelak," katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Lebuhraya dan Sambutan Tahun Baru Cina Lebuhraya Pantai Timur yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Tan Sri Azmil Khalid, di sini, Khamis.

Dilapor, sistem berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan sejak Mei lalu, terpaksa ditangguhkan kerana mengalami beberapa masalah teknikal dan kekangan akta JPJ. 

Sistem tersebut yang bakal memberikan impak besar dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini telah diluluskan Kabinet akhir tahun lepas selepas diselesai masalah berbangkit.

Tiong Lai berkata sistem tersebut melibatkan 21 kamera Awas di kawasan berisiko tinggi kemalangan seluruh negara termasuk di Pagoh, Johor yang berlaku kemalangan maut melibatkan bas ekspres baru-baru ini. 

Beliau juga mengulangi harapan agar sistem itu dapat mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi kelajuan yang ditetapkan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan peningkatan kes kemalangan maut jalan raya.-- Bernama

Liow Tiong Lai, JPJ, Awas, Kejara

Artikel Lain