suria

Kerajaan P.Pinang Sedia Kerjasama Dengan PPC

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri bersedia bekerjasamadengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membangun dan membesarkan Jeti Swettenham jika usaha itu dapat memberi manfaat kepada negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sebelum ini kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan bekas pengerusi PPC, Tan Sri Dr Chua Soi Lek untuk membesarkan jeti itu dan bersetuju untuk bekerjasama.

"Mengapa kami tidak mahu jual (tanah) kerana pelabuhan adalah sebahagian yang penting untuk Pulau Pinang. Kami nak kekalkan kepentingan kerajaan negeri dalam pelabuhan Pulau Pinang untuk memastikan semua projek-projek ini berjaya.

"Kami bimbang bahawa projek kerajaan persekutuan ini mungkin tidak berjaya. Kami hanya nak pastikan projek-projek yang berikutnya ada kepentingan kerajaan negeri supaya kerajaan negeri boleh memberikan pandangan," katanya pada sidang media, pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi PPC, Datuk Tan Teik Cheng pada Selasa yang menyatakan bahawa usaha untuk membangun dan membesarkan jeti itu tidak dapat dijalankan kerana kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan geran tanah yang dikemukakan PPC

Tan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Danny Law Heng Kiang yang menggesa kerajaan persekutuan supaya membesarkan Jeti Swettenham bagi menampung peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada Ahad lepas memetik Law sebagai berkata terdapat keperluan untuk jeti yang lebih besar kerana 190 kapal persiaran antarabangsa dijangka berlabuh di jeti itu dengan membawa 200,000 pelancong.

Lim berkata selepas pengerusi PPC bertukar, beliau tidak mengetahui kemajuan terkini berhubung kerjasama itu.

Beliau berkata dalam perbincangan itu, pihak PPC bersetuju dengan permintaan kerajaan negeri untuk mengadakan tender terbuka bagi projek pembesaran jeti itu.

"Selepas itu, kami tidak mengetahui perkembangan tender terbuka ini sehingga pengerusi ditukar dan tiada perbincangan dengan kami. Tiba-tiba kami dipersalahkan," katanya.

Justeru, Lim meminta PPC untuk berhenti menyalahkan kerajaan negeri berhubung perkara itu dan menyelesaikannya secara bijak. -Bernama

Artikel Lain