suria

Miliki 1Kg Kanabis, Nelayan Dihukum Penjara 18 Tahun, 10 Sebatan

KUALA TERENGGANU: "Jika diikut pertuduhan asal, kamu boleh dijatuhi hukuman mati, tetapi atas ihsan pihak pendakwaan kamu ditawarkan pertuduhan pilihan dan ini diibaratkan diberi peluang hidup kali kedua.

"Diharapkan dengan hukuman ini kamu akan insaf dan memberi pengajaran kepada masyarakat di luar sana bahawa mencari wang dengan menjual dadah bukan sahaja merupakan satu jenayah berat tetapi ia juga punca rezeki yang tidak berkat".

Demikian nasihat Hakim Mahkamah Tinggi Zainal Azman kepada seorang nelayan yang dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.01 kilogram pada Julai dua tahun lalu.

Tertuduh Mohamad Zaharudin Jusoh, 30, didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Balai Polis Kampung Raja di Besut pada kira-kira 10 pagi, 23 Julai 2015 mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan .

Dia pada awalnya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berbaju kemeja-T putih dan seluar panjang putih mengangguk faham tetapi dilihat sedikit resah selepas hakim menjatuhi hukuman itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.-- Bernama



kabanis, Besut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain