suria

Larangan Kapcai Perlu Ada Kajian - Wan Junaidi

Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk melarang motosikal 'kapcai' memasuki Kuala Lumpur bagi mengurangkan pelepasan karbon perlu disokong oleh kajian saintifik, menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengulas cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, motosikal bukan punca terbesar yang menyumbang kepada pencemaran.

"Yang kecil-kecil tak lepaskan banyak. Yang besar-besar yang banyak lepaskan. Kenapa kita larang yang kecil-kecil? Kita patut hentikan yang besar-besar," katanya pada sidang media di Menara Kuala Lumpur pada Selasa.

Wan Junaidi berkata, pada dasarnya beliau bersetuju terhadap pengurangan pelepasan karbon dengan mengurangkan pengangkutan persendirian, namun kajian yang sewajarnya perlu dilakukan bagi menentukan sama ada langkah tersebut benar-benar yang paling memberi manfaat kepada alam sekitar.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi berbincang mengenai perkara itu secara lanjut.

"Kita perlu tahu siapa yang membuat pelepasan terbesar. Adakah lori, bas, kereta atau motosikal? Saya tidak tahu pasal motosikal kerana bagi saya, sepatutnya lori-lori besar yang tidak seharusnya dibenarkan masuk," katanya.

Wan Junaidi berkata, Kuala Lumpur boleh melihat bagaimana London menguruskan penduduknya supaya menggunakan pengangkutan awam dengan menjadikan ia sukar untuk memandu kereta di sekitar bandar raya.

Cadangan Tengku Adnan turut mendapat tentangan daripada Kementerian Pengangkutan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, kebanyakan penunggang motosikal 'kapcai' merupakan golongan berpendapatan rendah, dan larangan itu hanya boleh dilihat sekiranya terdapat pilihan pengangkutan yang mudah.


kapcai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain