suria

Dua Rumah Musnah, Tujuh Mangsa Tinggal Sehelai Sepinggang

GAMBAR HIASAN

BAGAN SERAI: Tujuh mangsa daripada dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah di Kampung Sungai Bogak, di sini musnah dalam kebakaran malam Ahad.

Menurut mangsa, Sabri Hashim, 73, berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, beliau dan isterinya baru sahaja hendak melelapkan mata di bilik tidur dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat di bahagian dapur.

"Ketika saya berjalan ke ruang dapur, saya terdengar suara jiran yang merupakan anak saudara menjerit memanggil kami untuk segera keluar dari rumah.

Saya melihat ke dapur dan mendapati hampir keseluruhan bahagian dapur sudah dijilat api," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Sabri yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Masjid Sungai Bogak berkata beliau bersama isterinya segera keluar dari rumah pusakanya itu untuk menyelamatkan diri.

"Saya tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan berharga kerana api marak dengan cepat dan telah membakar keseluruhan rumah itu," katanya.

"Saya meminta jiran membantu keluarga sebuah lagi rumah menyelamatkan diri kerana api kebakaran dari rumah kami merebak ke rumah mereka. Saya tidak menyangka kejadian kebakaran itu berlaku ke atas rumah pusaka keluarga saya dan buntu memikirkan masa hadapan," kata Sabri.

Seorang lagi anngota keluarga mangsa, Habsah Ramli, 44, berkata semasa kejadian berlaku beliau sedang tidur di bilik manakala anak perempuannya, Khairunnisa Mohd Zakri, 16, sedang menyiapkan kerja sekolah di bilik tidurnya.

"Saya terdengar jiran menjerit api sebelum didatangi anak saya dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Sebelum keluar rumah, saya sempat mengambil beg berisi barangan berharga berserta sebuah tong gas yang diangkat bersama anak perempuan bagi mengelakkan rumah meletup akibat api kebakaran. 

"Namun, usaha itu ternyata sia-sia kerana rumah kami hampir musnah dijilat api dan saya menganggarkan kerugian lebih RM120,000," katanya sambil menambah beliau, suami dan tiga anaknya akan menumpang sementara di rumah kakaknya di Simpang Lima, Parit Buntar.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Nasir Wahab berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu daripada orang awam kira-kira pukul 10 malam.

Nasir berkata setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati dua rumah mangsa berstruktur separuh batu dan kayu musnah 80 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya terjejas lima peratus.

"Kami sempat memadamkan kebakaran yang mula merebak ke rumah ketiga.

Berbekalkan kekuatan tiga jentera bomba termasuk Bomba dari Parit Buntar dan Kamunting, kami berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 15 minit sebelum memadamkan api sepenuhnya dalam tempoh 45 minit," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya mengenal pasti kebakaran bermula dari bahagian dapur rumah mangsa pertama bagaimanapun punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat berkata selain memberi penyaluran bantuan menerusi Tabung Bencana Daerah Kerian, pihaknya turut memikirkan kaedah terbaik bagi membantu dua keluarga malang itu untuk membina semula rumah masing-masing.

"Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi memohon supaya bantuan bina baharu rumah kedua-dua keluarga mangsa dapat dipertimbangkan," katanya ketika melawat mangsa di sini pada Isnin.

Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain