suria

LHDN Kutip Lebih RM114 Bilion Cukai Langsung Tahun Lalu

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip lebih daripada RM114 bilion cukai langsung pada 2016, merosot sedikit berbanding RM116.8 bilion yang dikumpul pada 2015.

Timbalan Ketua Pengawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi berkata jumlah kutipan tersebut susut sedikit berbanding RM115 bilion yang di sasarkan untuk tahun 2016 berikutan kelembapan ekonomi serta harga minyak dunia yang tidak menentu.

"Prestasi ekonomi negara dan di seluruh dunia, menerima kesan negatif daripada penurunan harga petroleum sejak pertengahan 2014.

"Ia bukan sahaja memberi kesan ke atas industri minyak secara langsung, malah turut memberi kesan kepada sektor ekonomi secara keseluruhannya. Oleh itu, kutipan hasil 2016 turun berbanding pencapaian 2015," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional di sini Isnin.

Susulan pengubahsuaian Bajet 2016, kajian semula kedua Kementerian Kewangan mengunjurkan kutipan cukai langsung untuk 2016 sebanyak RM115 bilion.

Untuk 2017, LHDN menyasarkan untuk mengutip sebanyak RM127 bilion cukai langsung, selari dengan jumlah yang diunjurkan oleh kerajaan dalam Bajet 2017. - BERNAMA

LHDN, cukai langsung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain