suria

Mimpi Penghidap Barah Jumpa PM Jadi Realiti

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar rintihan Ketua Umno Cawangan Dusun Pinang, Ghazali Omar, 59, ketika meluangkan masa menziarahi 
Ghazali yang menghidap penyakit kanser kelenjar tahap empat di rumahnya pada 15 Januari 2017. - BERNAMA

PEKAN: "Ibarat mimpi jadi kenyataan," kata Ketua UMNO Cawangan Dusun Pinang Ghazali Omar setelah menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di rumahnya di Kampung Pahang Tua dekat sini Ahad.

Ghazali, 59, yang menghidap barah kelenjar tahap empat itu berkata beliau pernah bermimpi Najib datang melawatnya semasa dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan pada penghujung Dis tahun lepas untuk mendapatkan rawatan.

"Selepas terjaga daripada tidur waktu itu, saya bertanyakan kepada isteri sama ada betul atau tidak perdana menteri datang melawat saya.

"Tetapi isteri saya bagi tahu tidak ada, itu hanya dalam mimpi saya," katanya kepada Bernama selepas Najib menziarahinya di kediamannya.

Najib yang tiba kira-kira 10.20 pagi bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob itu meluangkan masa kira-kira 15 minit bertanya khabar dan beramah mesra dengan Ghazali.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada Ghazali yang telah menjadi Ketua UMNO Cawangan Dusun Pinang sejak tahun 2000.

Ghazali berkata sewaktu mendapat tahu perdana menteri ingin menziarahinya pada 9 Jan lepas, beliau berasa amat terkejut sehingga mengalirkan air mata terharu ketika itu.

"Saya sangat terharu dan rasa sebak apabila perdana menteri sudi meluangkan masa melawat saya hari ini. Saya mengucapkan terima kasih sangat kepada beliau," katanya dalam nada sebak sambil ditemani isterinya Rosida Kasim, 51.

Sementara itu, Rosida turut mengucapkan terima kasih kepada Najib dan terharu dengan keprihatinan beliau kerana sanggup meluangkan masa melawat suaminya walaupun sibuk dengan jadual kerja yang padat sebagai pemimpin nombor satu negara.

Beliau berkata suaminya terlantar sakit teruk sejak penghujung Sept tahun lepas dan hanya mendapat tahu tentang penyakit barah itu menyerang kembali suaminya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan lanjutan di sebuah hospital swasta di Kuantan Nov tahun lepas.

"Beliau mula-mula dapat kanser ini pada 2013 yang mana waktu itu kanser berada tahap tiga dan sempat menjalani kemoterapi sebanyak empat kali sebelum  bergantung sepenuhnya kepada pengambilan makanan tambahan sahaja.

"Selepas itu, beliau langsung tidak pergi membuat rawatan lanjut kerana alasan tidak larat dan tidak berdaya untuk meneruskan kemoterapi," katanya. - BERNAMA

Najib Tun Razak, Ghazali Omar

Artikel Lain