suria

Porsche Panamera Belum Keluar Zaman Tun M Memerintah - Annuar

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyangkal dakwaan bahawa beliau menggunakan dana kerajaan semasa zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membeli sebuah kereta Porsche Panamera.

Beliau berkata, model kereta tersebut tiada lagi di pasaran pada waktu itu dan hanya dilancarkan selepas 10 tahun Dr Mahathir bersara daripada jawatannya.

"Ada orang tuduh saya Tun M bagi duit, saya beli kereta Porsche Panamera, sedap sahaja buat tuduhan, tapi waktu itu Porsche Panamera tak keluar pun lagi.

"Porsche Panamera lepas 10 tahun (Tun) Mahathir berhenti jadi perdana menteri, barulah keluar model itu. Macam mana ambil duit (Tun) Mahathir beli Porsche Panamera," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan tiga pemain import Kelantan di sini pada Ahad.

Annuar berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa beliau menyalahgunakan wang kerajaan bertujuan memenangkan kembali Kelantan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) semasa zaman pentadbiran Dr Mahathir untuk membeli sebuah kereta Porsche Panamera.

Jelas Annuar, beliau enggan peduli dengan tuduhan tersebut kerana merasakan dirinya tidak melakukan seperti didakwa.

"Tak apalah kita tahu kita tak buat benda orang kata. Barangkali ada baiknya juga kerana adanya tuduhan itu, kita ada peluang untuk beri penjelasan dan orang dapat kebenaran dan ilmu mengenainya.

"Cuma kita meranalah sedikit kena tuduhan mula-mula tu, tapi tak apa, kita sebagai pemimpin tak boleh larilah (daripada tuduhan)," katanya.

Pada masa sama, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata beliau juga tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang melemparkan dakwaan berbaur fitnah terhadap dirinya.

"Kalau ikut dah banyak orang dah saya boleh dakwa buat fitnah. Jika anda tuduh saya ambil wang rakyat dan guna untuk perkara peribadi ia adalah fitnah.

"Lebih-lebih lagi orang macam saya wakil rakyat, Ahli Parlimen, macam mana saya boleh pergi curi wang, macam mana saya nak salahgunakan dana. Saya tak layak pakai gelaran berhormat, tak layak pakai gelaran wakil rakyat, tak layak pakai gelaran parti.

"Saya tak mengapa... saya berpegang kepada prinsip saya lakukan apa yang baik, apa yang benar dan kita tak semestinya bertindak balas kepada tuduhan itu," katanya.

Annuar berkata beliau boleh mengambil tindakan undang-undang tetapi percaya imej bola sepak tidak sepatutnya dicemari dengan kaedah sedemikian.

"Nak tentukan ia fitnah atau tidak kena fail di mahkamah. Adakah itu bola sepak? Tidak, maka saya fikir biarlah saya berkorban kena layak tapi tak apa.

Sementara itu,  Annuar yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata beliau tidak menggunakan wang Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menaja pasukan Kelatan.

"Kelantan ada pakej komersial sendiri, penggunaan imej pasukan, pemain tapi banyak orang di luar sana tak faham. Dia ingat kita ambil duit tajaan potong duit tajaan pelajar bagi dekat Kafa. Ia (wang tajaan) tiada kena mengena dengan dana pendidikan.

"Saya jelaskan di sini kerana kita tak nak polemik yang bukan-bukan. Kerana main bola nak kena turun naik mahkamah, pergi balai polis nak fail tuntutan saman fitnah. Bola sepak itu adalah sukan dan ada semangat kesukanan," katanya.

Menurut Annuar, bagi mencari dana untuk membiayai kos pengurusan Kafa, badan induk bola sepak negeri itu akan mendekati syarikat yang menyediakan peruntukan untuk promosi, pemasaran dan pengiklanan.

"Kita tak pergi ke syarikat yang tak ada bajet iklan, pemasaran dan promosi. Kita tak ambil duit daripada dana pendidikan. Tidak... anak syarikat Mara ada banyak, kalau mereka tak ada bajet tersebut (iklan) kita tak akan pergi dari awal," katanya.


Artikel Lain