suria

BR1M Akan Diteruskan Jika Pembangkang Menang - Tun M

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), memberi bayangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan kontroversi menyatakan bantuan tersebut kononnya sebagai rasuah kerajaan, berkata, BR1M akan dikekalkan jika bantuan itu didapati penting buat rakyat.

Namun katanya, BR1M itu perlu dijadikan sebagai bantuan berkanun berlandaskan undang-undang dan bajet.

"Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti (campuran).

Selain itu, Tun Mahathir turut mengumumkan parti tersebut akan bertanding dalam PRU14 sebagai parti komponen pakatan pembangkang.

Jelasnya, pakatan pembangkang akan menggunakan satu simbol, satu manifesto dan meletakkan hanya seorang calon di setiap kawasan bertanding.

"Mana-mana parti lain yang turut bertanding menentang Barisan Nasional (BN) selain satu parti campuran dalam kalangan parti pembangkang dilihat bertujuan memecahkan sokongan rakyat.

"Dalam parti campuran, sebarang perbuatan untuk melawan BN dengan meletakkan calon oleh parti lain ia adalah tindakan untuk mengkhianati rakyat yang berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pakatan pembangkang sedia untuk berdepan perebuta tiga penjuru jika situasi tersebut berlaku.

Dalam pada itu, Tun Mahathir berkata, PPBM akan memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Pada majlis itu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut menyampaikan ucapan.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir pada majlis itu termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan ahli politik DAP, Teresa Kok.

Tun Mahathir Mohamad, PPBM, Pribumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PPBM Dilancar Secara Rasmi

Artikel Lain