suria

Dua Remaja Maut Motosikal Berkuasa Tinggi Terbabas

SHAH ALAM: Dua remaja maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki mereka terbabas akibat hilang kawalan dalam kejadian di Persiaran Dato' Menteri, Seksyen 6, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata, Muhammad Asyraf Mohd Naizie dan Muhammad Fudail Mazlin, masing-masing berumur 16 tahun, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah, Seksyen 2.

Menurutnya, saksi kejadian kira-kira 2.50 petang itu menyatakan motosikal jenis BMW S1000RR yang ditunggang Muhammad Asyraf berada di lorong kanan jalan dan dikatakan dibawa laju sebelum gagal dikawal dan bergesel dengan pembahagi jalan.

Impak kejadian menyebabkan Muhammad Asyraf tercampak ke arah sebatang pokok dan terpelanting semula ke atas jalan manakala pembonceng yang juga rakannya, Muhammad Fudail pula tercampak ke atas jalan, kata Shafien ketika dihubungi.

Kedua-dua pelajar tingkatan empat itu meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Shafien berkata siasatan awal mendapati motosikal itu dipinjam daripada rakan mereka yang lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama

Artikel Sebelum

PPBM Dilancar Secara Rasmi

Artikel Lain